Malaysia tandatangan perjanjian dan MoU dengan Bahrain
3 Mei 2017 Print page
Tandatangan perjanjian itu melibatkan perkhidmatan udara dan 4 MoU dalam bidang pertahanan, perusahaan kecil dan sederhana, minyak dan gas serta perdagangan.
PUTRAJAYA: Malaysia dan Bahrain semalam menandatangani perjanjian mengenai perkhidmatan udara dan 4 Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan, perusahaan kecil dan sederhana (SME), minyak dan gas serta perdagangan.
Majlis menandatangani perjanjian dan MoU itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa di Seri Perdana.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menandatangani perjanjian itu bagi pihak Kerajaan Malaysia manakala Bahrain diwakili Menteri Luar Shaikh Khalid Ahmed Mohamed Al Khalifa.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Left Jen Diyab Saqer Alnoaimi daripada Angkatan Pertahanan Bahrain menandatangani MoU kerjasama dan pertukaran berkenaan pertahanan MoU berkenaan SME ditandatangani Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Industri, Perdagangan dan Pelancongan Bahrain, Zayed R Alzayani.
MoU lain yang ditandatangani semalam adalah berkaitan kerjasama dalam sektor huluan dan gas asli cecair (LNG) antara Petroleum Nasional Bhd (Petronas) dan National Oil and Gas Authority (NOGA Holdings) dari Bahrain.
MoU berkenaan ditandatangani Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Menteri Minyak Bahrain Shaikh Mohamed Khalifa Ahmed Al Khalifa.
Mou antara Dewan Perniagaan dan Perindustrani Bahrain (BCCI) dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) ditandatangani Presiden NCCIM Datuk Ter Leong Yap dan Pengerusi BCCI Khalid Abdulrahman Khalil Almoayed.
Perdana Menteri menjadi hos kepada majlis makan malam sempena lawatan negara Raja Hamad ke Malaysia selepas majlis menandatangani perjanjian dan MoU itu.
Raja Hamad Isa Al Khalifa tiba di sini pada Ahad untuk lawatan 4 hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/03/malaysia-tandatangan-perjanjian-dan-mou-dengan-bahrain/