'M40 wajar nikmati skim perumahan tanpa faedah'
12 Oktober 2017 Print page
KUALA LUMPUR: Skim pinjaman perumahan tanpa faedah wajar diperuntukkan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) yang sehingga kini dihimpit pelbagai masalah, khususnya peningkatan kos sara hidup di bandar.
Keperluan mendesak itu disifatkan ‘buah tangan’ utama yang diimpikan, susulan golongan isi rumah berpendapatan RM3,860 hingga RM8,319 sering tercicir daripada bantuan kerajaan.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon, berkata M40 berada dalam keadaan tersepit kerana tidak layak mendapat bantuan, namun membayar cukai pendapatan pada kadar tinggi.
Sehubungan itu, katanya, golongan M40 yang majoritinya hidup di bandar sering berdepan pelbagai masalah, khususnya kekurangan pendapatan boleh guna kerana terpaksa membayar pinjaman perumahan.
“Mereka semakin terhimpit kerana hasil kaji selidik mendapati dua pertiga daripada gaji isi rumah M40 digunakan untuk membayar pinjaman perumahan daripada bank.
“Berikutan itu, mereka terpaksa bergantung kepada lebihan satu pertiga gaji untuk menampung perbelanjaan harian dan keperluan asas sepanjang membanting tulang menyara kehidupan keluarga di bandar.
“Sehubungan itu, jalan terbaik adalah bagi kerajaan merangka mekanisme penyediaan pinjaman perumahan tanpa faedah kepada M40 dalam Bajet 2018,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Solomon berkata, proses saringan untuk memastikan bantuan disalurkan kepada golongan M40 yang layak perlu dilaksanakan bagi mengelak aktiviti spekulasi harga unit hartanah.
Selain itu, katanya, syarat pinjaman tanpa faedah boleh diubah mengikut peningkatan sosioekonomi M40 saban tahun, sekali gus menjamin keberkesanan penggunaan dana kerajaan.
“Kita boleh gunakan pelbagai dana seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Cukai Barang dan Jualan (GST) yang kutipannya setakat tahun lalu dilaporkan berjumlah RM41.2 bilion.
“Bagaimanapun, faedah antara satu hingga dua peratus boleh dikenakan kepada M40 apabila mereka mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih stabil, selari dengan perkembangan kerjaya.
“Penggunaan dana kerajaan ini tidak seharusnya dipersoalkan kerana bantuan kepada golongan M40 adalah sebahagian daripada usaha membantu rakyat untuk keluar daripada kancah kemiskinan bandar, sekali gus menikmati taraf hidup lebih selesa,” katanya.
Source : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/336412/m40-wajar-nikmati-skim-perumahan-tanpa-faedah