MOSUL – IRAQ. Kanak-kanak yang tinggal di wilayah yang dilanda keganasan di Utara Iraq  sering menjadi sasaran  dan diserang selama tiga negara ini berperang dengan Daesh, lapor Huffington Post.

Dalam satu laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bertajuk ‘Nowhere to Go’ mengatakan sejak konflik tercerus awal 2014 lalu, Daesh telah merampas sebahagian besar Iraq dan kira-kira 1,075 terkorban manakala 1,130 lagi tercedera.

Beribu kanak-kanak telah dipisahkan daripada keluarga mereka  serta berjuta-juta lagi tidak dapat bersekolah.

Wakil Unicef Iraq, Peter Hawkins berkata, bangunan sekolah dan hospital sering menjadi sasaran pengganas dan daripada 20 juta kanak-kanak di Iraq, lima juta daripadanya memerlukan bantuan kemanusiaan.

“Kanak-kanak di Iraq terus menyaksikan tragedi-tragedi seram dan keganasan yang tidak dapat dibayangkan. Mereka terbunuh, cedera, diculik dan dipaksa untuk menembak dan membunuh dalam salah satu peperangan paling kejam dalam sejarah masa kini.

“Konflik tersebut dipercayai turut mengubah kanak-kanak khususnya di Bandar Mosul, Fallujah dan Ramadi menyebabkan mereka terdedah dengan keganasan, kemiskinan, eksploitasi dan penyalahgunaan,” katanya.

Menurut laporan Reuters, kumpulan Daesh dipercayai merekrut lelaki di sini untuk terlibat di dalam perang.

Tentera kanak-kanak di sini mula dilatih seawal umur tiga hingga 16 tahun.