Khairy kecewa gaji minimum bukan RM1,200
7 September 2018 Print page
PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin hari ini kecewa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan paras gaji minimum pada RM1,050 kerana RM1,200 lebih sesuai dan realistik untuk kenaikan pertama.
Ahli Parlimen Rembau akui isu gaji minimum rumit cuma kenaikan terbaru itu terlalu kecil.
“Kerajaan perlu mengimbangi kepentingan majikan dan pekerja. Kalau paras terlalu tinggi, boleh menjejaskan kedudukan majikan. Kalau terlalu rendah, nasib pekerja tidak dijaga.
“Namun, kerajaan dilihat telah tunduk kepada kehendak majikan dan tidak memihak kepada pekerja,” katanya di Twitter.
Gaji minimum mula diperkenalkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pada 2012 pada paras RM900 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM800 sebulan bagi Sabah dan Sarawak, diikuti RM1,000 sebulan bagi Semenanjung dan RM920 sebulan bagi Sabah dan Sarawak pada 2016.
Semalam, pentadbiran Dr Mahathir mengumumkan kadar gaji minimum baharu ditetapkan pada RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam bagi seluruh negara berkuatkuasa 1 Januari 2019.
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/09/06/khairy-kecewa-gaji-minimum-bukan-rm1200/