Kerajaan Malaysia bayar RM1.07 juta kepada firma penyokong Trump
26 Mei 2017 Print page
Pendedahan itu menerima reaksi Rafizi Ramli yang mendapati syarikat itu tidak wujud seperti dalam borang difailkan di Amerika Syarikat.
PETALING JAYA: Sebuah syarikat yang mewakili kerajaan Malaysia membayar AS$250,000 (RM1.07 juta) kepada seorang bekas pegawai kempen Presiden Donald Trump untuk menjalankan kerja-kerja melobi, menurut laporan sebuah portal Amerika Syarikat, The Daily Beast.
Ia didedahkan dalam pengisytiharan wajib di bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing, di mana sesiapa yang terlibat melobi penjawat awam AS perlu mendedahkan butiran kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
Menurut borang rasmi difailkan, Healy Baumgardner-Nardone, seorang bekas pegawai kempen pilihan raya presiden Trump, sebuah firma lobi dengan alamat surat-menyurat di Johor Bahru dan juga Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya membayar kepadanya AS$250,000.
Ia bagi tujuan kerja melobi bagi “mengeratkan hubungan” Malaysia dan Washington.
Bayaran dibuat pada 9 Mei, 2017 kepada firma milik Nadone, The 45 Group.
Menurut Bloomberg, Nardone merupakan penyokong kuat Trump dengan pengalaman selama 20 tahun dalam politik tempatan.
Dalam reaksinya, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan keperluan pentadbiran Najib untuk melobi Trump.
“Kes yang mana yang perlu menggunakan seorang pelobi berbayar?” soal Rafizi.
Beliau turut menuntut Najib mendedahkan siapa pemilik Godfrey Group Limited yang mewakili kerajaan Malaysia untuk tujuan itu.
Menurutnya, carian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat itu tidak wujud.
Bagaimanapun, terdapat sebuah syarikat yang hampir serupa namanya didaftarkan dengan alamat berdekatan alamat Johor Bahru seperti dalam pengisytiharan Nadone.
Rafizi bagaimanapun mempersoalkan sama ada pemilik syarikat itu, seorang lelaki Cina berusia 70 tahun, adalah seorang ahli politik atau ada hubungan dengan kerajaan Malaysia.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/26/kerajaan-malaysia-bayar-rm1-1-juta-kepada-firma-penyokong-trump/