Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Oleh Ibrahim Isa
Ledang
Seramai 531 pekerja warga asing dan tempatan sebuah kilang di Taman Perindustrian Grisek, di sini, mendakwa mereka terpaksa mengikat perut berikutan pengurusan kilang tidak membayar gaji secara penuh sejak beberapa bulan lalu.
Lebih malang, tiga kedai runcit dan satu kedai makan tidak lagi memberikan kredit untuk mereka mendapatkan makanan berikutan hutang tertunggak lebih RM200,000.
Semua pekerja terdiri daripada warga Nepal seramai 300 orang, Bangladesh (100), Pakistan (50), Myanmar (30), Indonesia (10), Sri Lanka (seorang) dan warga tempatan (40).
Wakil pekerja, Talat Khan, 32, berkata, mereka tidak menerima gaji sejak 12 September lalu dan keadaan itu menyebabkan semua pekerja kini kebuluran kerana tiada wang untuk membeli makanan.
“Sejak awal tahun ini, kami hanya dibayar setengah bulan gaji dan majikan berjanji akan melunaskan baki pada bulan berikutnya.
“Keadaan itu menyebabkan kami hanya menerima gaji kira-kira RM400 sebulan dan ia tidak cukup untuk perbelanjaan selama sebulan.
“Berikutan itu, kami terpaksa menjual pelbagai barangan termasuk motosikal, basikal, tong gas dan jam tangan untuk membeli makanan,” katanya yang berasal dari Pakistan ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum ini pengurusan kilang berjanji akan melunaskan semua gaji tertunggak pada 30 September lalu, namun malangnya penantian mereka tidak menjadi kenyataan apabila kilang berkenaan menutup operasinya.
Pekerja, Muzafar Khan, 33, berkata, sejak tidak dibayar gaji penuh, mereka bergantung hidup kepada ihsan peniaga yang memberikan hutang kepada mereka untuk mendapatkan bahan makanan.
“Sejak Ogos hingga sekarang, kami tidak bekerja dan mengharapkan peniaga memberikan hutang untuk mengambil barang terutamanya makanan.
“Malangnya, sejak semalam (kelmarin), ada kedai yang tidak lagi memberikan kredit kerana jumlah hutang di situ melebihi RM89,000,” katanya ketika ditemui di asrama pekerja di Grisek, semalam.
Seorang pekerja tempatan, R Susila, 51, merayu pengurusan kilang membayar gaji memandangkan dia akan menyambut Deepavali tidak lama lagi.
Katanya, sejak Januari lalu, dia hanya dibayar RM500 sebulan menyebabkan terpaksa berdepan pelbagai masalah terutama insurans bulanan rumah dan kereta.
“Saya mempunyai tida anak dan dua daripadanya belajar di kolej. Keadaan ini bukan saja menyebabkan kehidupan kami tertekan, malah mengganggu pembelajaran anak,: katanya.
Penyelaras Pusat Bantuan Sokongan Pekerja Asing, Mohd Salleh Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan itu Jumaat lalu.
Katanya, sebaik menerima aduan, pihaknya ke asrama pekerja di Grisek dan meninjau keadaan pekerja terbabit sebelum terkejut mendengar penjelasan mereka sehingga ada yang terpaksa menjual barangan peribadi untuk membeli makanan.
Sumber: Harian Metro
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com