Kadar caruman SIP dikurangkan?
12 Ogos 2017 Print page
SHAH ALAM – Kadar caruman pihak majikan dan pekerja kepada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang menjadi satu isu dijangka akan dikurangkan hampir separuh susulan perbincangan yang diadakan dengan pihak-pihak berkepentingan, semalam.
Sinar Harian difahamkan kadar baharu yang bakal dilaksanakan dijangka 0.2 peratus masing-masing bagi pihak majikan dan pekerja.
Sebelum ini, Rang Undang-undang SIP mengesyorkan 0.5 peratus.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon berkata, pada dasarnya satu keputusan umum telah dicapai dalam pertemuan bersama pihak-pihak berkepentingan yang dipengerusikan Menter Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani kelmarin.
“Semua pihak berkepentingan telah bersetuju akan kadar caruman awal yang dicadangkan dikurangkan. Ini penting supaya ia tidak membebankan semua,” kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi.
Solomon menyifatkan perbincangan itu yang pertama selepas rang undang-undang ditangguhkan bacaan kali kedua adalah sesuatu yang membina.
“MTUC mendapati sesi perbincangan ini memberi peluang kepada wakil pekerja untuk mengutarakan pandangan dan pendapat dengan konstruktif. Sebelum ini ruang seumpama itu tidak ada,” katanya.
Malah menurut beliau, mesyuarat juga memutuskan untuk mengadakan perbincangan tiga pihak dalam waktu terdekat bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan termasuk pembentukan jawatankuasa pelaksanaan.
Dipercayai ia akan diadakan sebelum sidang Parlimen akan datang.
Kelmarin, Solomon dalam satu kenyataan dikeluarkan menghargai langkah Kementerian Kewangan memanggil pihak-pihak berkepentingan termasuk badan induk kesatuan sekerja itu untuk membincangkan kandungan Rang Undang-undang SIP.
“Amalan ini adalah penting dalam erti kata di mana kami tidak mahu pekerja membelanjakan wang yang diperoleh hasil titik peluh mereka untuk memfailkan tindakan undang-undang hanya bagi membetulkan pelaksanaan yang tidak adil, seperti pelaksanaan gaji minimum yang berlaku sekarang.”
Kabinet yang bermesyuarat Jumaat lalu memutuskan untuk menarik balik rang undang-undang itu dan menangguhkan bacaan kali kedua sehingga sesi Parlimen bulan Oktober.
Sebelum ini, Johari mengesahkan bahawa bacaan kali kedua RUU itu akan ditangguhkan ke sesi Parlimen yang akan datang pada Oktober.
RUU itu dibentangkan pada 1 Ogos dan disenaraikan di kedudukan kedua peraturan mesyuarat, yang dijadualkan akan dibahaskan minggu ini. RUU itu mencadangkan skim di mana majikan dan pekerja perlu membuat sumbangan wajib kepada dana untuk manfaat pekerja yang diberhentikan.
Menurut Johari, beberapa pihak berkepentingan menyatakan kebimbangan mengenai potensi dana itu mengutip RM1.4 bilion setahun daripada 6.5 juta pekerja, manakala hanya sedikit orang yang akan mendapat manfaat daripadanya.
“Kerajaan masih mahu melaksanakannya, tetapi kita mahu memastikan semua pihak berkepentingan faham skim itu,” kata Johari.
Kata Solomon, tidak dapat dinafikan MTUC termasuk semua pihak lain memihak kepada pengenalan SIP, tetapi itu tidak bermakna pihak-pihak berkepentingan menerima secara bulat-bulat undang-undang yang tidak sesuai dengan konteksnya dan tidak menguntungkan pekerja apabila ia dilaksanakan kelak.
“Kami tidak mahu MTUC dipersalahkan kononnya bersetuju tanpa asas dengan rang undang-undang yang tidak sepadan dengan tujuan yang dimaksudkan.”
Malah menurut beliau, pihaknya telah memaklumkan kepada Kementerian Sumber Manusia berulang kali agar berbincang dengan MTUC bagi mengelak niat mulia kerajaan ini disalahlaksanakan.
Oleh sebab itu, katanya, MTUC selama 7 bulan yang lalu telah mencari ruang perbincangan mengenai mekanisme pelaksanaan dan dua kali telah menulis surat, dengan khusus menggariskan cadangan pihaknya.
Source : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/kadar-caruman-sip-dikurangkan-1.717550