Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Lebih 35,000 pensyarah Universiti Awam kini perlu penuhi pelbagai tugas lain termasuk jana pendapatan untuk universiti tetapi skim perkhidmatan tidak pernah dikaji sejak 15 tahun lalu
Berita Harian5 Mar 2017Oleh Meor Ahmad Nasriin Rizal Ishak
Kualiti perkhidmatan lebih 35,000 pensyarah universiti awam (UA) di negara ini dikhuatiri terjejas apabila skim perkhidmatan dan gaji tidak berubah sejak 15 tahun lalu, malah semakin ketinggalan berbanding penjawat awam lain.
Pada masa sama, skop kerja dan tanggungjawab mereka pula semakin bertambah, dituntut memenuhi pelbagai tugas sampingan, termasuk menjana pendapatan untuk universiti melalui tabung endowmen dan penyelidikan.
Mendedahkan isu itu kepada BH, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin menyifatkan pensyarah seolah-olah kurang diberi perhatian berbanding guru yang sering menikmati pelbagai insentif baharu.
Dahulu, katanya, skim perkhidmatan pensyarah adalah yang terbaik, tetapi kajian perbandingan pada 2012 yang dilakukan MAAC mendapati situasi ketika itu adalah kerana peluang kenaikan pangkat masih terbuka dan berasaskan tempoh perkhidmatan.
“Ketika itu, pensyarah yang memberi sumbangan signifikan berpeluang naik pangkat, tapi sekarang perlu penuhi banyak aspek dan dinilai berdasarkan merit serta petunjuk prestasi utama (KPI), bukan lagi berasaskan tempoh perkhidmatan,” katanya.
Katanya, tuntutan KPI juga meningkat daripada 5P, iaitu Pengajaran, Penyeliaan, Penyelidikan, Penerbitan dan Pentadbiran, kepada 9P apabila ditambah Perundingan, Perkhidmatan Masyarakat, Perhubungan dan Jalinan Industri serta Pengantarabangsaan.
Tugas sampingan
“Ini boleh menjejaskan fungsi pensyarah dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) berkualiti. Pensyarah UA juga perlu melaksanakan tugas sampingan, termasuk menjana pendapatan untuk universiti melalui tabung endowmen dan penyelidikan.
“Sekiranya tidak memenuhi tuntutan tugas sampingan itu, mereka akan dianggap gagal mencapai KPI masing-masing,” katanya sambil menambah, masalah lain ialah wujud perbezaan ketara kadar pendapatan dan elaun kepakaran dalam kalangan pensyarah UA.
“Jurang perbezaan itu mencecah ribuan ringgit mengikut jenis bidang pengajian pensyarah. Sebelum ini, pensyarah berada dalam satu skim perkhidmatan sama, tapi kini dibezakan mengikut kelayakan dan tugasan di universiti,” katanya.
Beliau memberi contoh, skim perkhidmatan bagi pensyarah peruba- tan, farmasi dan pergigian memperuntukkan elaun pakar lebih RM3,000 sebulan, sedangkan rakan sejawatan dalam bidang lain tidak menikmati insentif itu walaupun taraf akademik sama.
“Adakah ini bermaksud pensyarah bidang lain tidak penting serta tidak kritikal?,” katanya.
Sebelum Skim Saraan Baru (SSB) pula, katanya, pensyarah yang kembali berkhidmat selepas selesai pengajian sarjana atau doktor falsafah (PHD), secara automatik akan menikmati Hadiah Pergerakan Gaji (HPG) kerana peningkatan kelayakan akademik.
Tiada kenaikan automatik
Kini, beliau berkata, tiada lagi kenaikan automatik kerana hanya pensyarah gred lantikan DS45 layak mendapat HPG, manakala mereka yang berada dalam gred kenaikan pangkat seperti DS52 atau DS54 pula tidak layak.
“Jadi, apa istimewanya dapat PHD sedangkan sudah dinaikkan pangkat? Jawapannya ialah jika bernasib baik dan berusaha lebih gigih, boleh naik pangkat lagi. Ketika ini, peluang pensyarah tanpa PHD jadi profesor atau profesor madya tipis.
“Bagaimanapun, bagi skim perkhidmatan lain, peluang naik pangkat terus terbuka walaupun hanya ada sarjana muda asalkan sentiasa tingkatkan kemahiran dan beri sumbangan signifikan,” katanya.
Katanya, MAAC pernah mengemukakan usul kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam pada 2012 agar skim perkhidmatan dan gaji pensyarah UA dikaji semula secara menyeluruh.
Source : https://www.pressreader.com/
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com