Fokus tiga cabaran ekonomi – PM
15 Jun 2017 Print page
PUTRAJAYA 13 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyenaraikan tiga cabaran utama yang dihadapi Malaysia dalam usaha mentransformasikan ekonomi negara.
Cabaran tersebut adalah mendorong pertumbuhan ekonomi berlandaskan produktiviti, menggerakkan industri kepada aktiviti nilai tambah tinggi dan meraih peluang berikutan revolusi teknologi industri 4.0.
Sejajar dengan itu, beliau berkata, Malaysia perlu mengenal pasti bidang pengkhususan untuk terus berdaya saing pada peringkat global.
“Sehubungan itu, marilah kita adakan satu perbincangan yang membina pada hari ini, yang mana anda sebagai wakil komuniti masing-masing dapat memberi cadangan dan maklum balas yang akan membantu kerajaan merangka dasar-dasar pembangunan masa depan Malaysia.
“Sesi meja bulat sebegini juga mampu memberi penyelesaian isu-isu ekonomi semasa termasuklah isu jangka masa sederhana dan panjang seperti Dasar Ekonomi Baru, Rancangan-rancangan Malaysia serta Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada pembukaan sesi Perbincangan Meja Bulat Isu-isu Semasa Bersama Usahawan Kecil dan Sederhana serta Usahawan Tekno dan Persatuan di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp.), Datuk Hafsah Hashim dan Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong.
Najib berkata, negara perlu terus mempertingkatkan daya saing terutama melalui usaha peningkatan produktiviti.
Sehubungan itu katanya, kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia (MPB) pada 8 Mei lalu bagi memacu peningkatan produktiviti negara di semua peringkat seperti nasional, sektor dan perusahaan.
“Pada tahun 2015 produktiviti pekerja bagi sektor PKS adalah pada kadar RM47,000 seorang dan kita menyasarkan produktiviti akan mencapai RM76,400 bagi seorang pekerja menjelang tahun 2020,” katanya.
Perdana Menteri berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan besar sebagai ejen-ejen ekonomi dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Jelasnya, ia terbukti apabila sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 meningkat kepada 36.3 peratus berbanding 35.9 peratus iaitu RM385.6 bilion nilai tambah pada tahun sebelumnya.
“Sehubungan itu, input daripada usahawan PKS dan usahawan tekno adalah penting dalam merangka hala tuju pembangunan Malaysia selepas tahun 2020,” katanya.
Source : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/fokus-tiga-cabaran-ekonomi-8211-pm-1.493029#ixzz4k3cyEC7z