Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memohon agar pemberian cuti paterniti pekerja swasta diselaraskan kepada tujuh hari, sepertimana dinikmati oleh golongan bapa dalam sektor awam.
Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor menganggap cadangan itu amat wajar bagi membolehkan golongan tersebut dapat bersama menjaga keperluan anak yang baharu lahir.
Beliau malah berkata, pihak majikan perlu mempertimbangkan cadangan itu sebagai kewajipan dan tanggungjawab terhadap pekerja mereka.
“MTUC menyokong cadangan cuti paterniti tetapi tempoh tiga hari itu kami rasa amat pendek. Sebagai permulaan ia (pemberian tiga hari) baik tetapi bagi jangka panjang kami berpandangan tujuh hari adalah wajar, malah pindaan akta pekerja juga tidak berlaku setiap tahun.
“Jadi, kami minta cuti paterniti diberikan selama tujuh hari sepertimana dinikmati oleh pekerja awam. Kita tidak harus mendiskriminasikan keadilan perlindungan itu antara dua kategori tenaga kerja di negara ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah yeoh meminta majikan sektor swasta supaya memberi pertimbangan sewajarnya untuk cuti paterniti selama tiga hari ke atas golongan suami jika isteri mereka bersalin.
Kata beliau, cuti paterniti yang dicadangkan Kementerian Sumber Manusia untuk golongan bapa di sektor swasta perlu dilaksanakan kerana mereka perlu memainkan peranan bagi meringankan beban ibu yang baharu melahirkan anak.
Pada 20 Jun lalu, Kementerian Sumber Manusia bercadang memperkenalkan cuti paterniti selama tiga hari kepada golongan bapa yang bekerja di sektor swasta melalui pindaan Akta Kerja 1955.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, cadangan pemberian cuti paterniti selama tujuh hari kepada pekerja swasta tidak sama sekali akan menjejaskan produktiviti golongan tersebut.
Ini kerana, katanya, majikan perlu melihat cadangan tersebut dari sudut yang lebih positif dan bukannya keuntungan semata-mata.
“Perkara ini tidak harus dipandang dari aspek keuntungan syarikat sahaja tetapi perlu mengambil kira soal kewajipan dan tanggungjawab syarikat terhadap aset mereka. Kadang kala kita lihat pihak majikan lebih perjuangkan keuntungan berbanding kebajikan pekerja.
“Oleh itu, mereka tidak boleh terlalu berkira sangat dalam melindungi tenaga kerja atau aset kita. Malah, cadangan seperti ini juga telah dilaksanakan oleh negara-negara luar yang membangun tanpa ada masalah,” katanya.
Source : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/cuti-paterniti-mtuc-mohon-tujuh-hari-seperti-sektor-awam-1.926866#.XRjk2dgIPIU.whatsapp
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com