Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
PETALING JAYA: Sambutan Hari Pekerja tahun ini bagi pekerja CIMB dilihat lebih bermakna dengan keputusan kumpulan bank itu menawarkan 4 insentif termasuk kemudahan pinjaman perumahan sifar peratus.
Tetapi hanya untuk staf Kumpulan CIMB, dengan beberapa syarat.
Kadar sifar itu untuk tempoh 5 tahun pertama, melibatkan pinjaman tidak melebihi RM250,000, dan untuk mereka dengan pendapatan kurang RM3,500 sebulan.
Bagi staf yang membeli rumah yang siap dibina, mereka hanya perlu membayar ansuran mulai tahun keempat.
Di samping pinjaman perumahan tanpa faedah, Kumpulan CIMB juga mengumumkan bantuan kewangan bulanan RM200 kepada setiap anak ibu bapa tunggal yang bersekolah dan berumur bawah 18 tahun.
Pekerja yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan akan menerima bantuan kewangan bil air RM50 dan kredit RM100 menerusi kad Touch n’ Go bagi membiayai kos pengangkutan.
Kesemua insentif tersebut diumumkan pada satu majlis sambutan Hari Pekerja peringkat Kumpulan CIMB kelmarin, yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari pada majlis itu berkata akan menggesa bank lain, khususnya yang bertaraf GLC, mengambil langkah yang sama dalam menyediakan kemudahan pinjaman perumahan sifar peratus.
‘Hadiah Hari Pekerja’
Dalam reaksinya, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perbankan (NUBE), menyifatkan ia sebagai “hadiah Hari Pekerja 2017” yang disambut Isnin ini, dan berkata insentif tersebut perkara yang diputuskan CIMB di luar perjanjian kolektif, yang lazimnya dimeterai setiap 3 tahun sekali.
“Ini insentif-insentif yang diberi di luar perjanjian kolektif. Khususnya kemudahan pinjaman perumahan sifar peratus yang kami tuntut tahun lalu,” kata Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon, kepada FMT.
“Kami yakin langkah ini akan membantu pekerja-pekerja berpendapatan rendah.”
Solomon berkata, walaupun pihaknya meminta kemudahan pinjaman perumahan sifar peratus bagi kesemua kakitangan kumpulan perkeranian dan bukan perkeranian, yang kebanyakan daripada mereka menerima pendapatan bulanan bawah RM4,000, tetapi pengumuman ini adalah satu langkah yang positif dan membina.
“NUBE mengucapkan terima kasih kepada pengurusan CIMB. Kami yakin Kumpulan CIMB akan melaksanakan permintaan penuh tuntutan pinjaman perumahan sifar tidak lama lagi,” kata beliau.
Tambah beliau, NUBE juga percaya bank yang lain akan mengambil langkah yang sama.
Pada April 2016, NUBE, yang dianggotai sekitar 20,000 ahli di seluruh Semenanjung, menggesa pihak bank menyediakan pinjaman perumahan tanpa faedah kepada kakitangan perkeranian dan bukan perkeranian.
Kesatuan itu juga meminta bank menyediakan pinjaman penuh bagi rumah yang berharga antara RM300,000 dan RM500,000, serta menyerap yuran guaman dan lain-lain yuran.
Solomon ketika itu berkata, insentif itu penting sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat pihak bank.
Katanya, dengan kenaikan kos harga rumah terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar, amat sukar bagi memiliki rumah sendiri tanpa pinjaman yang disubsidikan.
Daripada 20,000 ahli, sekitar 3,000 adalah pekerja Kumpulan CIMB.
Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata pelaksanaan insentif itu membuktikan komitmen pihaknya dalam memastikan pekerja mereka diberi sokongan sewajarnya dalam kedua-dua aspek kerjaya dan kehidupan peribadi.
“Pekerja kami adalah aset yang amat bernilai, yang telah menyumbang kepada kejayaan dan pencapaian kumpuan,” katanya.
http://www.freemalaysiatoday.com/…/cimb-tawar-pinjaman-rum…/
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com