Cabaran hidup di flat kos rendah
25 Mac 2018 Print page
JIKA flat kos rendah di kawasan bandar adalah untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah, terdapat satu subkategori penghuni yang perlu diberi perhatian.
Baru-baru ini, The Malaysian Insight membincangkan mengenai beberapa orang kurang upaya, warga emas, kanak-kanak dan lain-lain yang tinggal di flat sedemikian di Pulau Pinang bagi mengukur sejauh mana keperluan dan harapan mereka dipenuhi.
Ong Moi Lee (bukan nama sebenar), yang buta, tinggal bersama dua anaknya di flat dua bilik di Desa Permai Indah, yang juga dikenali sebagai Flat Hamnah, di Sungai Dua berdekatan kampus Universiti Sains Malaysia (USM).
Wanita itu berkata pemaju flat 10 blok itu memperuntukkan unit tingkat bawah untuk golongan kurang upaya sepertinya bagi memudahkan pergerakan.
“Blok perumahan ini tak ada lif, sebab hanya setinggi lima tingkat, jadi hanya ada tangga. Tangga kecemasan tak ada, saya risau kalau berlaku kebakaran,” katanya.
Kalaupun ada lif, Ong mengangak ia direka tanpa merujuk golongan buta kerana butang lif dalam tulisan Braille di beberapa flat lain semuanya tunggang terbalik, menjadikannya sukar dibaca.
Untuk mengekang vandalisme, beberapa lif yang baru dinaik taraf (seperti di flat McCallum), butang lifnya di tutup dengan kaca. Ini menyebabkan orang-orang buta tidak dapat menyentuh (dan membaca) butang Braille.
Parkir kereta dan motosikal juga menjadi masalah bagi penghuni. Parkir kepunyaan Ong sering saja diambil orang.
Flat kos rendah di Kampung Melayu di Air Itam yang terdiri dari dua blok 963 unit, mempunyai tiga lif bagi setiap satu blok.
Seorang penduduk di situ, Haji Mohd Ibrahim Abdul,68, berkata sekiranya salah satu lif rosak rosak misalnya disebabkan oleh vandalisme, seseorang perlu menggunakan tangga untuk menggunakan lif yang terdapat di blok lain. Ini akan menyusahkan golongan tua dan kurang upaya.
Paling teruk, beberapa selusur di sepanjang tangga juga dicabut oleh perosak harta awam.
Source : https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/44947/