Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
KUALA LUMPUR 3 Okt. – Kerajaan diminta memperkenalkan satu dasar kepada majikan sektor swasta untuk memberi Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) kepada pekerja sektor itu seperti yang dinikmati oleh kakitangan awam.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Khalid Atan berkata, cadangan tersebut perlu dipertimbangkan memandangkan kos harga barang dan sara hidup yang semakin meningkat turut dirasai golongan pekerja swasta.
“Kerajaan perlu menggariskan satu dasar peraturan supaya majikan-majikan swasta membayar COLA kepada kakitangan swasta kerana bebanan kos sara hidup bukan sahaja dirasai oleh sektor awam tetapi pekerja swasta turut terbeban sama.
“Ini merupakan cara lebih baik selain pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang hanya dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah dan diberi secara tahunan tetapi pemberian COLA ini lebih menyeluruh kerana rakyat berbelanja secara bulanan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Cadangan pemberian COLA itu antara harapan MTUC menjelang pembentangan Bajet 2015 tidak lama lagi selepas kerajaan memutuskan untuk mengurangkan pemberian subsidi minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen yang bermula semalam.
Selain pemberian COLA, Mohd. Khalid berkata, kerajaan juga perlu mengkaji untuk menaikkan had gaji minimum sebanyak RM1,200 berbanding RM900 pada ketika ini kerana jumlah itu sudah tidak relevan dalam keadaan kos sara hidup terus meningkat saban tahun.
Katanya, kadar peratus pembayaran cukai pendapatan individu juga perlu dikurangkan seiring dengan pengurangan cukai korporat sebagai mekanisme untuk membantu rakyat.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Shaani Abdullah berkata, kerajaan dicadangkan untuk memberi keutamaan kepada usaha penambahbaikan sektor pengangkutan awam supaya lebih cekap dan efisien serta menambah lebih banyak akses kepada kemudahan itu.
Katanya, pengangkutan awam mampu menyelesaikan kesan kenaikan harga petrol kepada rakyat apabila kemudahan itu diperkasakan.
“Pemberian subsidi tidak mampu membantu orang yang benar-benar layak menikmatinya, jadi kerajaan perlu memastikan pembangunan infrastruktur lain dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com