Bayaran ansuran rumah mangsa tsunami Kedah dimansuhkan serta merta
23 Mac 2018 Print page
SERAMAI 126 keluarga mangsa tsunami yang ditempatkan di Taman Permatang Katong, Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani, tidak perlu lagi membayar ansuran bulanan RM50, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar Kedah Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pengecualian bayaran ansuran bulanan itu yang sepatutnya berbaki kira-kira-kira 10 tahun lagi dimansuhkan susulan keputusan kerajaan persekutuan yang menerima cadangan kerajaan negeri.
“Secara purata, tempoh pinjaman dan bayaran balik adalah selama 20 tahun dan masih berbaki lebih 10 tahun lagi untuk mereka membuat bayaran namun kini mereka tidak perlu lagi membuat bayaran bulanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jelajah Muafakat Rakyat 2018 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Kuala Muda hari ini.
Susulan kejadian tsunami yang melanda beberapa bauh kampung di Kota Kuala Muda pada 26 Dis 2004, sebuah taman perumahan dibangunkan bagi menempatkan mangsa yang rumah mereka terjejas teruk serta penduduk yang tinggal di kawasan berisiko dilanda tsunami.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata kerajaan negeri berhasrat mewujudkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di semua 15 kawasan DUN di negeri itu.
“Setakat ini rumah PPR hanya terdapat di tujuh kawasan DUN di negeri ini, kita akan bina lagi secara berperingkat, hasrat saya jika kerajaan Barisan Nasional terus diberi mandat mentadbir Kedah saya mahu setiap DUN ada rumah PPR,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahmad Bashah berkata, beliau menyambut baik hasrat Perdana Menteri Najib Razak untuk mengumumkan senarai calon lebih awal.
“Ini memberi ruang kepada calon terbabit untuk membuat persediaan serta memperkenalkan diri kepada rakyat. Lagi awal diumumkan senarai calon, lagi bagus.
“Sama ada muka lama atau baharu yang bakal menjadi calon, itu terserah kepada perdana menteri, mungkin akan ada muka baharu khususnya di kawasan yang kalah sebelum ini, apa pun yang pasti, semua calon yang akan diumumkan adalah berwibawa dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.
Terdahulu beliau meluangkan masa bersarapan bersama rakyat di Pekan Tikam Batu, menghadiri perjumpaan santai bersama penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) DUN Pantai Merdeka di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan Tikam Batu dan peniaga Arked Kota Kuala Muda serta bersama masyarakat dalam Jamuan Rakyat DUN Pantai Merdeka.
Source : https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/44463/