Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Rang Undang-Undang Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2014 yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu didakwa memberi kekebalan mutlak kepada MAS dalam hal ehwal pekerja, lapor Sinar Harian hari ini.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Mohd Akram Osman berkata, ia menghapuskan sama sekali hak pekerja membuat sebarang tuntutan atau mengambil tindakan undang-undang terhadap MAS.
“Ini memberikan imuniti sepenuhnya kepada syarikat,” katanya kepada akhbar itu, sambil mendakwa akta baharu itu bercanggah dengan undang-undang buruh sedia ada.
Akram menggesa Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sebagai pemilik MAS mengeluarkan semua klausa dalam Akta MAS baharu yang bercanggah dengan Akta Pekerjaan 1955.
“Khazanah menetapkan contoh yang salah dan ia akan memberi isyarat negatif kepada syarikat lain,” katanya dipetik Sinar Harian.
Akram mendakwa Khazanah tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan Nufam sebelum akta itu dibentangkan di Parlimen.
Katanya, Khazanah sepatutnya memanggil semua pihak terlibat bagi membincangkan penyelesaian kepada kira-kira 100 kes tuntutan dan kes mahkamah yang difailkan kakitangan terhadap MAS.
“Mereka tidak boleh sewenangnya laksana sesuatu tanpa berunding dengan Nufam. Menang atau tidak, itu hak mahkamah tentukan. Tetapi dengan akta baharu ini, MAS tutup terus peluang pekerja gunakan undang-undang sedia ada,” beliau dipetik berkata.
Beliau turut meminta Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem campur tangan bagi menyelesaikan perkara ini dan mengatakan Nufam akan memfailkan aduan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat.
Presiden Nufam Ismail Nasaruddin sebelum ini melahirkan kebimbangannya dengan mengatakan undang-undang sebelum ini mencukupi, dan akta baharu itu akan menyekat hak pekerja.
Katanya, elemen yang merunsingkan Nufam ialah klausa dalam akta baharu itu yang mengatakan kes di Mahkamah Perusahaan sedia ada tidak boleh dibawa apabila syarikat baharu mengambil alih MAS, sedangkan ketika ini, banyak kes melibatkan pekerja MAS disalurkan ke mahkamah itu.
Rang undang-undang tersebut, dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar Rabu lepas, bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan syarikat penerbangan nasional itu.
Dengan 37 fasal dan enam bahagian, ia antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi pentadbiran Malaysian Airline System Berhad (MAS), syarikat subsidiari milik penuh dan milik separanya.
Ia juga menyediakan peruntukan bagi penubuhan entiti baharu dikenali Malaysia Airlines Berhad yang akan menggantikan MAS sebagai syarikat penerbangan nasional.
Entiti baharu itu akan mengemukakan model perniagaan kritikal dalam memastikan keuntungan dan daya saing bagi pengambil alihan perniagaan, harta, hak dan tanggungjawab MAS.
Khazanah sebelum ini dilaporkan berharap kerajaan menggubal akta itu awal tahun hadapan sebelum MAS NewCo ditubuhkan pada pertengahan 2015.
Berdasarkan pelan pemulihan MAS, syarikat itu akan dinyah senarai daripada Bursa Malaysia menjelang hujung tahun dan syarikat baharu (Newco) akan diwujudkan bagi meneruskan perniagaan syarikat.
Bagi mempermudah penstrukturan semula syarikat penerbangan negara itu secara menyeluruh dan seiring perkembangan semasa, kerajaan membentangkan rang undang-undang baharu itu di Parlimen, dikenali Akta MAS. – 3 Disember, 2014.
Sumber: The Malaysian Insider
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com