MTUC-RWEU
KAJIAN
TERHADAP GAJI DAN TERMA KERJA BAGI PEKERJA-PEKERJA RESORTS WORLD BHD
KAJIAN DILAKUKAN OLEH
RWEU
PENGANALISAAN DAN LAPORAN DISEDIAKAN
OLEH
JABATAN PENYELIDIKAN MTUC
TARIKH DISEDIAKAN
27 JULAI 2000
KAJIAN
TERHADAP GAJI DAN TERMA KERJA BAGI
PEKERJA-PEKERJA RESORTS WORLD BHD
Methodologi Kajian
Kajian secara menyeluruh
telah dilakukan oleh pihak kesatuan pekerja bagi melihat gaji dan keadaan persekitaran kerja di
Resorts World Bhd. Borang kajian yang meliputi 9 bahagian telah diedarkan
kepada pekerja-pekerja Resorts bagi mendapat suatu keputusan baru terhadap
kehendak serta kebajikan pekerja dalam keadaan kerja sekarang.
Laporan
Pembahagian skop laporan
adalah seperti berikut:
A) Beban Kerja
B) Cuti Rehat/ Tahunan
i) Cuti tahunan
ii) Masa rehat
C) Gaji/Ganjaran
i) Elaun syif
ii) Elaun makan
D) Kebajikan Pekerja
i) Keselamatan pekerja
ii) Kantin
iii)Klinik
iv) Asrama
v) Pakaian seragam
vi) Kemudahan awam
vii) Sistem pengangkutan
viii) Rekreasi dan sukan
E) Kesimpulan
A) Beban
Kerja
Kajian menunjukkan 98%
pekerja menerima dan melakukan lebih daripada tugasan yang ditetapkan pada
peringkat awal. Hampir 50% pekerja melakukan lebih daripada dua kerja dan 50%
lagi melakukan lebih daripada dua kerja.
Tenaga kerja telah dikurangkan akibat daripada kegawatan ekonomi. Walaupun
ekonomi telah mengalami transisi pemulihan tenaga kerja masih belum ditambah.
Akibatnya pekerja yang sedia ada terpaksa memikul lebih beban kerja.
Penyelarasan gaji harus dilakukan sejajar dengan tanggungan beban yang
bertambah. Sekiranya pekerja menafikan untuk melakukan kerja lebih; majikan
atau Supervisor akan memarahi pekerja.
B) Hari Rehat

Pekerja-pekerja
Resorts sememangnya tidak puas hati dengan sistem hari rehat yang ditentukan
oleh pihak majikan. Pekerja dikehendaki bekerja selama 24 hari tanpa cuti dan
akan diberi cuti selama 4 hari. Ini
bermakna seseorang pekerja bekerja 48 jam seminggu malah dalam kes pekerja
Resorts mereka bekerja selama 56 jam seminggu untuk tiga minggu pertama dalam satu
bulan. Hari sabtu dikategorikan sebagai hari kerja penuh selama 8 jam. Walaupun
pekerja bekerja sedemikian mereka tidak bantah malah apa yang diinginkan oleh
pekerja ialah cuti mingguan atau bulanan itu ditambahkan kepada 5 hingga 6
hari. Bagi pekerja yang belum berumahtangga mereka berpuashati dengan sistem
cuti 4 hari. Namun ia menjadi masalah kepada pekerja-pekerja yang tinggal
berjauhan seperti di selatan (Johor), utara (Perlis, Kedah) dan pantai timur
(Kelantan, Pahang, Terengganu). Mereka merasakan cuti mereka habis 2 hari bagi
perjalanan dalam
bas dan 2 hari lagi untuk
bersama keluarga adalah tidak cukup. Begitu juga bagi mereka yang sudah
berumahtangga, mereka merasakan 4 hari tidak cukup untuk bersama dengan
keluarga. Cadangan adalah wajar bagi menambahkan cuti ke 5 hingga 6 hari.
i) Cuti Tahunan
Kajian menunjukkan 67%
responden tidak suka cuti tahunan mereka ditetapkan seperti yang tertera pada
carta. Pekerja juga dikehendaki menetapkan cuti tahunan mereka sebelum 6 bulan.
Malah dikalangan pengurus atasan, boleh menukar cuti tersebut mengikut kehendak
mereka. Bagi kategori pekerja bawahan pula mereka tidak boleh melakukan
perubahan; walaupun dengan alasan yang munasabah dan dimaklumkan 4 hari lebih
awal (seperti yang tertera dalam C.A). Cuti tahunan juga dilarang diambil pada
akhir tahun dan memaksa mereka menghabiskan separuh daripada cuti tahunan
sebelum pertengahan tahun. Cuti tahunan juga terpaksa dibatalkan sekiranya
perubahan yang terdekat itu tidak dapat dicari penganti.
Pekerja-pekerja juga memberi
komen bahawa pihak majikan tidak mengambil berat mengenai perkara cuti pekerja
malah ia bergantung kepada pihak supervisor jabatan. Pekerja-pekerja inginkan
kebebasan untuk mengambil cuti tahunan mengikut kehendak mereka.
ii)
Masa Rehat
Masa rehat adalah 30 minit
hingga 1 jam bagi setiap pekerja. Perjalanan dari tempat kerja ke kantin
mengambil masa 5 minit, beratur untuk mendapatkan makanan 5 hingga 7 minit dan
hanya tinggal lebih kurang 15 minit untuk makan dalam keadaan tergesa-gesa.
Dalam kes ini pekerja-pekerja meminta memperbaiki pengurusan kantin.(bahagian
masalah kantin).
C) Ganjaran
/Gaji
Kajian menunjukkan bahawa
gaji minimum pekerja Resorts adalah rendah. Ada pekerja yang bermula pada
tangga gaji RM220 dan selepas berkhidmat selama 17 tahun kini tangga gaji
mereka berada pada RM1000. Kenaikan tahunan mereka adalah lebih kurang RM30.
Apa yang menjadi persoalan ialah semakin lama seseorang itu berkhidmat untuk
majikan mereka seharusnya diberi ganjaran yang lebih. Malah apa yang terjadi
adalah sebaliknya, pekerja yang telah berkhidmat lama akan melalui satu skim
khas (skim mati) yang menamatkan kenaikan gaji tahunan. Mereka ini hanyalah
bergantung kepada kenaikan gaji bagi setiap
tiga tahun bila C.A baru digubal. Pekerja-pekerja ini walaupun bukan
mewakili golongan majoriti namun lebih dari 17% responden dalam kajian ini
merupakan golongan pekerja daripada kategori tersebut. Mereka ini masih
menerima beban kerja tambahan. Mereka ini juga merungut bahawa gaji mereka
adalah tidak setimpal dengan bebanan kerja yang dilakukan oleh mereka; malahan
kos hidup harian yang tinggi setiap masa menyebabkan tanggungan mereka juga
bertambah.
Carta di sebelah menunjukkan kenaikan gaji tahunan yang diterima oleh responden. Berdasarkan carta jelas bahawa 42% daripada responden menerima kenaikan gaji pada kategori pertama iaitu RM20 hingga RM30, 28% lagi menerima kenaikan pada kategori RM31-RM40, 17% lagi pada kategori RM41-RM50 dan 5% adalah pada kategori melebihi RM50. Pekerja yang menerima kenaikan melebihi RM50 adalah terdiri daripada kakitangan berpangkat. Pekerja-pekerja mengharapkan kenaikan yang lebih memandangkan beban kerja mereka adalah tinggi dan bagi mereka yang mengalami `skil mati' juga mengharapkan suatu kenaikan yang wajar kerana mereka ini telah berkhidmat lama untuk perkembangan dan kemajuan syarikat.

i) Elaun
Setiap pekerja yang bertugas
syif malam menerima elaun sebanyak RM2 setiap kali. Hasil kajian menunjukkan
95% daripada pekerja menyarankan supaya elaun syif malam ditambahkan.
Komen-komen yang diutarakan juga menjelaskan bahawa beban kerja serta risiko
mereka yang bekerja malam adalah tinggi. Begitu juga dengan elaun syif
pembahagian masa. Pekerja juga merungut mengenai kadar bayaran yang rendah
serta menyatakan kesukaran mereka untuk melakukan sebarang pertukaran syif
kerja.
Hasil penelitian mendapati 86% responden berasa kurang puas hati dengan ganjaran yang diterima melalui skim bayaran perkhidmatan. Mereka lebih suka sekiranya bayaran perkhidmatan ini ditetapkan sepanjang masa. Manakala 14% responden pula bersetuju dengan apa yang mereka terima sekarang. Pekerja-pekerja sememangnya mengharapkan `mata' bayaran perkhidmatan yang tinggi ditentukan supaya mereka dapat mengimbangi pendapatan mereka yang rendah.

ii) Elaun Makanan
Pekerja-pekerja tidak puas
hati langsung dengan nilai elaun makanan yang diberi oleh majikan. Faktor utama
ialah kos makanan di kantin terlalu
mahal. Malah kos tersebut juga tidak berpatutan dengan kualiti makanan yang
disediakan. 90% daripada responden mengatakan harga makanan di kantin adalah
terlalu mahal. 9% pula berpendapat harga makanan adalah sederhana dan
selebihnya 1% daripada responden pula mengatakan harga makanan adalah murah.
Kajian mendapati pekerja-pekerja yang mengatakan harga makanan
murah itu merupakan kumpulan pekerja yang menerima makanan percuma. Jadi elaun
makanan yang diberi perlu dilakukan penyelarasan kerana harga barangan makanan
telah naik dengan drastik. Malah Index harga pengguna CPI bagi makanan adalah tinggi
berbanding dengan 3 tahun yang dahulu dengan kadar 115 pada tahun 1997
meningkat kepada 135.6 pada tahun 2000. Peratus perubahan index makanan adalah
sebanyak 17.3% dalam masa tiga tahun ini. Carta ini mengambarkan reaksi
responden terhadap elaun makanan dan kos makanan di Resorts kantin.
![]() |
![]() |
D) KEBAJIKAN PEKERJA
i)
Keselamatan Pekerja
Hasil kajian menunjukkan 59%
daripada responden mengatakan aspek keselamatan sewaktu kerja tidak diberi
perhatian manakala 41% responden menyatakan diberi perhatian.
Antara elemen-elemen yang
diutarakan adalah seperti berikut:
i) tiada `safety boot' bagi
pekerja,
ii) majikan tidak mengajar
cara menggunakan alat keselamatan,
iii) bunyi tekanan air panas
menyeksa pekerja,
iv) tempat kerja terlalu
sempit dan tiada sistem pengudaraan di stor.
Di samping itu kemalangan
yang berlaku di tempat kerja biasanya ditanggung sendiri oleh pekerja dan tidak
pernah dihiraukan oleh pihak majikan.
Aspek kebajikan pekerja juga
tidak pernah diambil berat oleh pihak majikan. Aspek yang akan dibincangkan
meliputi kantin, klinik, asrama, pengangkutan dan sukan.
ii) Kantin
Berdasarkan kajian 70%
daripada responden tidak berpuashati dengan perkhidmatan kantin di resorts.
100% respondan menyatakan kebersihan kantin tidak diberi perhatian langsung.
Komen juga dikemukakan terhadap sistem pengudaraan di kantin yang tidak lancar.
Asap dari dapur dan asap rokok juga kadang-kala mewujudkan keadaan kurang
selesa di tempat makan. Tambahan pula layanan daripada pekerja kantin adalah amat
tidak memuaskan (terlalu kasar).

Pekerja-pekerja juga tidak
setuju air suam segelas dikenakan bayaran sebanyak 20 sen. Mereka juga
mencadangkan:
i) asingkan kawasan merokok,
ii) asingkan makanan halal
dan tidak halal,
iii) pelbagaikan makanan,
iv) elakkan memasak makanan
yang berlebihan dengan resepi yang lain pada hari keesokannya.
iii) Klinik
Pekerja-pekerja mengadu
bahawa walaupun mereka boleh mendapatkan rawatan daripada klinik majikan; namun
pelbagai masalah timbul. Pertama sekali, pekerja tidak dapat pergi ke klinik
pada waktu kerja. Pekerja-pekerja merasakan perlunya klinik beroperasi selama
24 jam. Ini memudahkan pekerja-pekerja syif pagi dan petang mendapat rawatan
pada waktu malam. Kecemasan yang berlaku pada waktu malam tidak dapat di duga.
Oleh itu pekerja perlukan perkhidmatan klinik beroperasi 24 jam.
Di samping itu pekerja juga
membuat aduan menyatakan layanan jururawat terlalu kasar. Pekerja seharusnya
dilayan dengan mesra dan ramah. Bagi pekerja-pekerja yang tinggal di luar atau
berulang-alik mereka inginkan doktor majikan di kawasan(Batang Kali) mereka
atau resit perubatan dari klinik lain diiktiraf oleh majikan memandangkan
mereka ini sukar mendapat rawatan dari klinik majikan di Resorts disebabkan
terlalu jauh. Pekerja juga merasakan rawatan pemeriksaan kesihatan perlu diberi
setiap tahun untuk semua pekerja. Pekerja-pekerja juga inginkan rawatan untuk
keluarga (isteri/suami dan anak-anak) mereka
ditanggung oleh majikan. Di samping itu, bilangan doktor juga harus
ditambahkan kerana bilangan pekerja Resort adalah ramai.
iv) Asrama
Carta di sebelah memberi
penjelasan bahawa 70% daripada responden tidak berpuas hati dengan keadaan
tempat tinggal mereka. Pekerja-pekerja ini menyatakan bahawa keadaan bilik
mereka amat sempit(bagi tiga orang penghuni). Pada hari cuti mereka ingin
membawa keluarga (berkahwin) anak-anak mereka tinggal bersama. Majikan harus
membenarkan ahli keluarga bersama
pekerja. Keadaan bilik juga amat tidak memuaskan. Bilik pekerja tidak
dicat sejak beberapa tahun akibatnya ditumbuhi kulat dan terdapat saluran najis
di dalam bilik. Kerosakan dan kebocoran dalam bilik juga tidak dihiraukan oleh
pihak majikan. Satu lagi masalah utama yang dihadapi oleh pekerja ialah
penggunaan tandas. Lokasi tandas adalah agak berjauhan dari bilik dan ia harus
dikongsi bersama. Ini menyebabkan kesesakkan, kelewatan dan masalah kebersihan.
Juga dikatakan tiada kemudahan air di dalam tandas. Bagi wanita yang mengandung mereka mengalami kesukaran untuk
ulang-alik ke tandas. Pekerja-pekerja mencadangkan supaya setiap bilik
disediakan dengan tandas persendirian.

Di samping itu kerja-kerja
pembinaan yang dilakukan berhampiran tempat tinggal juga menyebabkan
pekerja-pekerja syif malam tidak dapat tidur kerana bunyi bising daripada
kerja-kerja pembinaan. Pekerja juga memaklumkan mereka tidak akan sama sekali
bersetuju untuk bayar bil elektrik dan air di masa hadapan sekiranya majikan
mengarah mereka berbuat demikian.
v) Pakaian Seragam
Walaupun dalam C.A telah
ditetapkan setiap pekerja layak menerima 3 pasang pakaian seragam selepas
ditetapkan dalam perkhidmatan namun bukan semua pekerja menerima 3 pasang malah
ada segelintir pekerja yang hanya menerima 2 pasang sahaja. Kualiti kain juga
dikritik oleh pekerja kerana terlalu nipis dan tidak sesuai dengan keadaan
cuaca sejuk di Genting. Mereka menyarankan agar kualiti kain yang lebih tebal
digunakan untuk pekerja di bahagian luar dan kualiti yang nipis bagi pekerja
yang kerja di jabatan dobi atau pekerja di bahagian suhu panas.
Satu masalah yang dikesan
dari kajian ialah majikan enggan memberi atau mengantikan pakaian yang sudah
koyak atau rosak (wear and tear) dengan alasan tiada stok. Malah ada juga kes
diskriminasi dilakukan, sesetengah jabatan menerima pakaian yang berkualiti
sebaliknya yang lain pula di berikan pakaian yang telah digunakan oleh jabatan
lain. Cadangan dikemukakan supaya tiap-tiap tahun diberi satu pasang pakaian
baru. Kini ada pekerja memiliki pakaian yang diberi 5 tahun yang lepas tanpa
diganti. Warna yang cerah juga tidak sesuai untuk pekerja di jabatan-jabatan
dobi, dapur dan jabatan stor. Mereka ini harus dibekalkan dengan pakaian yang
berwarna gelap.
vi) Kemudahan Awam
Kemudahan awam yang penting
bagi pekerja Resorts ialah kemudahan telefon awam. Kajian menunjukkan bahawa
75% responden meminta kemudahan telefon in ditambahkan untuk setiap paras dan
juga di asrama. Memandangkan telefon yang sedia ada kini terhad dan sering
mengalakkan kerosakkan. Komunikasi dua hala antara pekerja dengan keluarga
pekerja di kampung adalah penting supaya pekerja dapat memberi tumpuan sepenuh
semasa melakukan tugas. Manakala 25% responden yang menyatakan kemudahan
telefon awam tidak perlu ditambahkan adalah responden yang memiliki telefon
bimbit sendiri.
vii) Sistem
Pengangkutan
Sistem pengangkutan internal
yang sedia ada memberi kemudahan yang baik kepada pekerja. Namun pekerja
merasakan masa perkhidmatan bas ini perlu ditambahkan sehingga ke pukul 11.00
malam sebaliknya bukan dihadkan ke pukul 8.00 malam sahaja. Pekerja juga
merasakan perkhidmatan bas internal yang disediakan ini harus diberi percuma
kepada semua pekerja.
viii) Rekreasi dan Sukan
Pekerja-pekerja Resorts
sangat berharap agar pihak majikan sentiasa mengadakan
aktiviti-aktiviti sukan dan
rekreasi bersama. Aktiviti-aktiviti sedemikian boleh mengurangkan masalah
sosial dan aktiviti tidak sihat dikalangan pekerja. Aktiviti seperti ini juga
boleh mengeratkan hubungan renggang antara pekerja dengan majikan. Kegiatan
rekreasi ini haruslah dijadikan satu aktiviti tahunan majikan. Cadangan yang
diutarakan adalah mengadakan padang bola sepak dan mengadakan majlis
keramaian(makan bersama) dengan pekerja.
D) KESIMPULAN
Hasil kajian menunjukkan
bahawa banyak aspek pekerja yang telah diabaikan oleh majikan. Majikan harus
memberi keutamaan kepada pekerjanya tanpa sebarang diskriminasi terhadap
pekerja untuk kemajuan syarikat. Walaupun sesetengah perubahan telah terdapat
dalam C.A namun majikan tidak mengambil berat seperti perkara yang berkaitan
dengan cuti pekerja. Hubungan pekerja menjadi renggang apabila pekerja menuntut
hak mereka.
Ekonomi negara mengalami
pertumbuhan yang baik dan sudah tentunya syarikat menikmati ganjaran hasil
daripada pertumbuhan tersebut. Adalah wajar bagi syarikat mempertimbangkan
kebajikan pekerja yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk perkembangan
syarikat. Ganjaran yang wajar akan menghasilkan daya produktiviti pekerja yang
tinggi. Majikan harus menambahkan tenaga kerja bagi mengurangkan beban pekerja
terutama pada masa promosi. Kaedah ini boleh mengalakkan pekerja melakukan
tugasan mereka dengan lebih bertanggungjawab dan sistematik.