Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUCHING, 24 Okt (Bernama) — Sebanyak 12,000 pekerja Bangladesh yang akan diambil bekerja di Sarawak adalah untuk sektor perladangan sahaja, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.
Beliau berkata kemasukan mereka adalah secara berperingkat untuk memenuhi permintaan pemilik ladang kelapa sawit di negeri ini bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja sehingga menjejaskan pengeluaran tandan buah segar (FFB).
Katanya, pengambilan pekerja terbabit dipersetujui dalam pertemuan beliau dengan pihak kerajaan Bangladesh ketika berkunjung ke negara itu baru-baru ini.
“Saya telah maklumkan kepada kerajaan Bangladesh, di Sarawak mereka hanya akan bekerja dalam sektor perladangan. Pengambilan pekerja Bangladesh di Sarawak akan dibuat secara berperingkat kerana permintaan majikan perlu diperiksa oleh jawatankuasa dianggotai agensi kerajaan yang berkaitan.
“Pekerja Bangladesh ini ialah buruh am khusus untuk sektor ladang kelapa sawit dan bersedia untuk diambil bekerja untuk kerja yang dikategori sebagai 3D (dirty, difficult and dangerous),” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Riot berkata bagaimanapun, keputusan kemasukan pekerja terbabit akan dimuktamad dalam mesyuarat antara kerajaan Malaysia, Bangladesh dan kerajaan negeri Sarawak pada 4 Nov di Kuala Lumpur.
Pada 20 Okt lepas, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia AKM Atiqur Rahman, dalam satu majlis di sini, berkata 12,000 rakyat Bangladesh akan diambil bekerja dalam pelbagai sektor di Sarawak.
Kenyataan itu mengundang pelbagai komen negatif khususnya di laman sosial, antaranya, kerajaan dituduh menganaktirikan pekerja tempatan.
Riot berharap penjelasan ini dapat memperbetul persepsi salah serta komen negatif berhubung langkah kerajaan itu termasuk dakwaan pekerja Bangladesh terbabit akan menerima bayaran rendah.
“Kini kadar pengangguran di Sarawak ialah 2.3 peratus berbanding 2.8 peratus di peringkat kebangsaan. Pada peringkat antarabangsa, angka di bawah 4 peratus dianggap sebagai penggajian penuh.
“Bagaimanapun kekurangan pekerja dalam sektor perladangan menyebabkan kerajaan tidak mempunyai pilihan selain membenarkan pengambilan pekerja Bangladesh. Kalau tidak diambil pekerja dari Bangladesh ini, ladang kelapa sawit di negeri ini boleh tutup kerana FFB tidak boleh dituai,” katanya.
Beliau juga berkata dakwaan pekerja Bangladesh dibayar gaji rendah adalah tidak benar kerana mengikut undang-undang Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), gaji yang diterima pekerja asing harus sama dengan pekerja tempatan. — BERNAMA
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com